KUALA LUMPUR – Proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, memasuki hari kedua hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, kenderaan membawa pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki kediaman Tan Sri itu pada jam 8.45 pagi tadi.
Pada masa sama, kawasan kediaman pemegang konsesi lebuh raya itu masih dikawal ketat anggota polis bantuan dengan meletakkan kon penghadang dalam jarak kira-kira 500 meter bagi mengelak dihampiri orang awam.
Sejak semalam, dua pegawai penyiasat SPRM telah merakam keterangan individu itu yang mengambil masa kira-kira selama enam jam bermula jam 9 pagi sehingga 3 petang.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki melaporkan bahawa Tan Sri berkenaan merupakan saksi utama dalam siasatan kes terbabit dengan 52 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















