Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

BANGI – Sekurang-kurangnya dua individu bakal menghadapi pertuduhan dalam masa terdekat berhubung dakwaan skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, kemungkinan individu tersebut akan dituduh di mahkamah terlebih dahulu sebelum kenyataan berhubung isu berkenaan dibuat.

“Saya akan umum dalam masa terdekat akan ada satu atau dua akan individu dituduh di mahkamah. Boleh jadi akan dituduh dulu dan saya akan buat kenyataan kemudian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (dua kanan) beramah mesra dengan penerima-penerima Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di BACC, Bangi. Foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2025.

Pada 6 Jun lalu, SPRM telah menyerahkan kertas siasatan dakwaan skandal perlombongan di Sabah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Memetik sumber, SPRM berkata, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan diserahkan kepada AGC pada dua minggu lalu.

Sumber itu juga memberitahu, terdapat kemungkinan beberapa individu akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Bulan lalu, SPRM telah menyiapkan laporan forensik berhubung video kontroversi yang dikaitkan dengan dakwaan skandal perlombongan.

Dakwaan skandal perlombongan itu dilaporkan pada 2024 selepas satu siri video yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dibocorkan.

Video tersebut didakwa menunjukkan perbincangan yang melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek penerokaan mineral di negeri itu.

Pada Februari, Azam berkata video tersebut tidak mempunyai kredibiliti kerana ia telah disunting secara berlebihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast