Gambar hiasan beef Wellington

SYDNEY – Seorang wanita Australia hari ini, menafikan berniat untuk membunuh tiga tetamunya dengan menghidangkan beef Wellington yang mengandungi cendawan beracun semasa makan tengahari.

Erin Patterson, 50 tahun, didakwa membunuh ibu bapa dan ibu saudara bekas suaminya dengan memasukkan cendawan jenis death cap ke dalam hidangan daging dan pastri tersebut.

Dia juga didakwa cuba membunuh seorang lagi tetamu iaitu bapa saudara bekas suaminya namun lelaki itu terselamat selepas mendapat rawatan yang panjang di hospital.

Kejadian berlaku pada Julai 2023.

Wanita itu mendakwa beef Wellington iaitu satu hidangan tradisional Inggeris yang dimasaknya dalam saiz individu, telah tercemar secara tidak sengaja.

Pendakwa raya, Nanette Rogers, menamatkan sesi soal balas terhadap Patterson pada Khamis dengan mencadangkan tertuduh secara sengaja mencari dan memasukkan cendawan death cap ke dalam daging Wellington tersebut.

Patterson bagaimanapun menafikan setiap dakwaan itu.

Mahkamah juga diberitahu mengenai dua peranti mudah alih yang digunakan oleh Patterson — telefon A, yang merupakan peranti utama yang digunakannya dan telefon B, yang diaktifkan beberapa hari selepas insiden makan tengah hari itu.

Patterson berkata dia mula menggunakan telefon B selepas telefon utamanya rosak.

Rogers mendakwa telefon utama itu telah digunakan untuk melihat catatan dalam talian tentang penemuan cendawan death cap di sekitar kawasan rumah Patterson beberapa bulan sebelum insiden maut tersebut.

Patterson sekali lagi tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan.

Semasa pihak polis menggeledah rumah Patterson pada 5 Ogos 2023, telefon utamanya didapati sudah tidak mempunyai sambungan kepada rangkaian. Pihak polis masih belum menemui peranti itu hingga kini.

Sebaliknya, Patterson menyerahkan telefon B kepada pihak berkuasa.

Menurut Rogers, telefon itu telah melalui tetapan semula kilang sebanyak tiga kali dalam beberapa hari selepas makan tengah hari tersebut.

Pendakwa raya mendakwa bahawa tetapan semula itu dilakukan “bagi menyembunyikan kandungan sebenar telefon B” dan bahawa Patterson telah menyembunyikan telefon asalnya daripada polis kerana “data dalam peranti itu boleh mensabitkan kamu.”

Patterson tidak bersetuju dengan kedua-dua dakwaan tersebut.

Dia sebelum ini berkata telefon B adalah milik anak lelakinya dan dia melakukan tetapan semula itu untuk memadam data anaknya agar dia boleh menggunakan telefon tersebut.

Patetrson pada asalnya menjemput suaminya yang telah berpisah, Simon untuk menyertai makan tengah hari keluarga di rumahnya di sebuah perkampungan terpencil di Leongatha, Victoria.

Namun Simon menolak jemputan tersebut kerana berasa tidak selesa untuk hadir.

Menurut keterangan mahkamah, mereka telah lama berpisah tetapi masih sah sebagai suami isteri mengikut undang-undang.

Ibu bapa Simon, Don dan Gail, serta ibu saudaranya Heather Wilkinson hadir dalam makan tengah hari itu. Ketiga-tiganya meninggal dunia dalam tempoh beberapa hari.

Suami Heather, Ian, jatuh sakit tenat tetapi berjaya sembuh.

Perbicaraan di Morwell, tenggara Melbourne, dijangka akan berlangsung selama dua minggu lagi. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast