Bekas Pembantu Penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) berjalan keluar selepas dibebas dan dilepaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa orang awam mengelak daripada membuat penyataan yang bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung dengan keputusan kes melibatkan Muhammed Yusoff Rawther.

Apatah lagi, kata AGC dalam satu kenyataan hari ini, jika kenyataan itu dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

Menurutnya, pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.

“Jabatan ini akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.

“Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/06/12/yusoff-rawther-dilepas-dan-dibebaskan-pertuduhan-edar-dadah-miliki-pistol-tiruan/

Tambah kenyataan itu, AGC menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan dalam kes tersebut.

Katanya, ini adalah kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang.

Tambahnya, AGC menyedari bahawa kes tersebut telah menarik perhatian umum dan sepanjang prosiding, jabatan  itu telah bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang.

“Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast