Bekas Pembantu Penyelidik kepada Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) berjalan keluar selepas dibebas dan dilepaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther tanpa perlu membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman berkata pendakwaan gagal buktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

“Keadaan tertentu dalam kes ini menimbulkan persoalan sama ada tertuduh mempunyai kawalan eksklusif terhadap senjata dan dadah tersebut.

“Syak wasangka semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan kawalan tertuduh terhadap barangan berkenaan. Oleh itu, kamu dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

Terdahulu, dalam kes tersebut Muhammed Yusoff diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali (tengah) hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes terhadap Muhammed Yusoff Rawther sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.

Manakala, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman.

Pada 28 April lalu, pendakwaan menutup kes selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April.

Antara saksi itu ialah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan ahli kimia daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Ebrahim Rawther hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes terhadap abangnya, Muhammed Yusoff Rawther sama ada dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025.

Sebagai rekod, 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Muhammed Yusoff turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bebas atau bela diri, nasib Yusoff Rawther ditentukan esok

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast