Muhammed Yusoff Rawther

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi esok.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijadual menyampaikan keputusan sama ada pihak pendakwaan berjaya atau gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Jika keputusan memihak kepada Muhammed Yusoff, dia akan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan.

Sebaliknya, jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, tertuduh akan dipanggil membela diri pada tarikh yang akan ditetapkan.

Bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri, Muhammed Yusoff Rawther dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan selepas Polis menemui dua pucuk pistol dan dadah dalam kenderaan dinaikinya pada minggu lalu. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024 (GAMBAR FAIL)

Pada 28 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman menutup kes setelah memanggil 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada 7 April lalu.

Saksi terakhir adalah Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zuhairi Md. Zuhir, 36, daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara saksi yang dipanggil pihak pendakwaan ialah Inspektor Wan Muhammad Wan Ali daripada Bahagian Risikan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL), ahli kimia Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia dan beberapa anggota polis.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata, pihak pembelaan menemu bual tujuh saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Muhammed Yusoff didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau IPKKL pukul 10.15 pagi, 6 September tahun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada 9.25 pagi, hari yang sama.

Pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast