Menteri Pengangkutan, Antony Loke Siew Fook (tengah) bercakap kepada wartawan ketika hadir pada taklimat mengenai cadangan penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di Shah Alam, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 13 JUN 2025.

 

 

SHAH ALAM – Tiada halangan buat ahli keluarga kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan maut di Telok Intan, Perak pada 13 Mei lalu untuk membuat tuntutan sivil di mahkamah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, waris boleh berbuat demikian bagi menuntut ganti rugi dan pampasan daripada syarikat kenderaan berat yang juga pemilik lori muatan yang mengakibatkan kemalangan terbabit.

“Kita akan heret pemilik syarikat itu ke mahkamah, itu bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ini kes jenayah.

“Tapi pihak keluarga juga boleh mengambil kes sivil terhadap syarikat itu untuk mendapat ganti rugi dan pampasan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira pukul 8.50 pagi.

Lapan anggota maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, manakala sembilan lagi cedera.

Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast