Maritim Malaysia menahan vesel nelayan tempatan kelas C termasuk kru termasuk tekong, peralatan menangkap ikan dan hasil laut kira-kira 1.9 tan metrik telah ditahan dan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway bagi siasatan lanjut

KUANTAN– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 1.2 batu nautika tenggara perairan Pantai Sepat, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Ketika itu ia sedang bergerak menuju ke muara Kuantan sebelum ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi Preventive SAR dan Op MAKMUR sekitar pukul 9.40 pagi.

”Pemeriksaan awal mendapati terdapat lima kru termasuk tekong di atas bot berkenaan merupakan warga Myanmar berumur lingkungan antara 27 hingga 33 tahun.

”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, hanya tekong memiliki dokumen pengenalan diri manakala empat kru lain tidak mempunyai sebarang dokumen tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan permit kerja sah.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu kesemua kru termasuk tekong, bersama bot, peralatan menangkap ikan dan hasil laut kira-kira 1.9 tan metrik telah ditahan dan dibawa ke Jeti Penerpa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi
siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast