KUALA LUMPUR – Music Malaysia memandang serius laporan berkaitan penglibatan seorang artis baharu dalam industri muzik tanah air dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Timbalan Pengerusi Music Malaysia, Ayob Abd Majid menegaskan, perbuatan sebegitu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah mencemarkan nama baik industri muzik yang dibina atas asas bakat, disiplin dan dedikasi.
“Industri muzik adalah wadah seni yang membentuk budaya, memberi inspirasi, dan menyatukan rakyat. Justeru, kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang merosakkan integriti industri demi kepentingan peribadi.
“Kami menyeru semua artis, khususnya bakat baharu agar menjauhi gejala sosial berbahaya seperti dadah. Jadikan seni sebagai platform untuk mengubah hidup ke arah lebih positif bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ayob, Music Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap individu yang didapati melanggar etika dan undang-undang negara.
“Bakat tanpa integriti tidak membawa makna,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















