KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah membuka Lorong tambahan di Plaza Tol Rawang Selatan (Exit 115) hari ini.
Pembukaan lorong tambahan ini dijangka dapat melancarkan aliran trafik di plaza tol berkenaan, khususnya bagi pengguna yang menuju ke Gamuda Gardens dan Kundang.
Trafik harian di Plaza Tol Rawang Selatan kini telah mencatat hampir 29,000 kenderaan sehari, justeru langkah ini dijangka mampu menyuraikan antara 14% hingga 19% trafik sedia ada pada waktu puncak.

PLUS berkata, peningkatan ini memberi impak positif bukan sahaja kepada komuniti sekitar Gamuda Gardens, tetapi juga kepada penduduk di kawasan sekitar seperti Rawang, Kundang dan Sungai Buloh serta pengguna harian Lebuhraya Utara-Selatan secara keseluruhan.
“Dengan adanya tiga lorong tambahan di plaza tol ini, aliran trafik dapat diagihkan sekali gus menjimatkan masa perjalanan, mengurangkan tekanan, dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Inisiatif ini telah direalisasikan hasil kerjasama erat serta sokongan berterusan daripada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kerja Raya, PLUS dan Gamuda Berhad. – MalaysiGazette















