KUALA LUMPUR -Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Andalas (UNAND) telah menjalankan Program WE LEAD 4.0 (Learn, Explore, Aspire, Dynamic) di Padang, Indonesia, baru-baru ini.
Program melibatkan lebih 150 pelajar dari kedua-dua negara ini bukan sahaja membina hubungan rentas budaya, malah memupuk nilai kepimpinan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Dr. Norinsan Kamil berkata, aktiviti seperti gotong-royong pembersihan pantai memberi makna lebih besar daripada sekadar menjaga kebersihan.
“Ia bukan sekadar membersihkan sampah, tetapi tentang membina kepimpinan yang bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekitar, ” katanya dalam kenyataan media di sini.
Selain itu, aktiviti lain dalam program ini turut mencuri perhatian iaitu malam silang budaya, persembahan tarian piring tradisional Minangkabau oleh pelajar UNAND serta nyanyian dan tarian rakyat Malaysia oleh pelajar UKM.
Sesi dialog antara pelajar turut diadakan bagi mengukuhkan pemahaman silang budaya.
Program silang budaya itu membuka ruang untuk para peserta mengenali satu sama bukan hanya setakat rakan program, tetapi sebagai rakan serantau yang berkongsi matlamat.
Wakil pelajar UNAND, Dedi Irwansyah menyifatkan kerjasama dengan pelajar Malaysia kali ini menjadikan program tersebut lebih bermakna.
“Kami buat aktiviti ini hampir setiap tahun, tetapi kali ini lebih istimewa kerana dilakukan bersama rakan serantau,” katanya.
Penganjuran program ini membuktikan belia serantau mampu menjadi pencetus perubahan bukan sahaja untuk masyarakat, tetapi juga untuk bumi yang lebih lestari. – MalaysiaGazette
















