PENUBUHAN Pondok Moden Al-‘Abaqirah (Al-’Abaqirah) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak sedekad lalu menyaksikan pelbagai siri kejayaan yang memaknai kemenjadian pelajar telah dilakar oleh institusi pendidikan Islam berteraskan pengajian turath yang digarap dalam pendekatan pendidikan moden ini.
Ditubuhkan pada 2015, Al-‘Abaqirah membawa pendekatan unik yang menggabungkan sistem pengajian kitab turath secara talaqqi wa musyafahah dengan sistem pentadbiran serta pengurusan pendidikan yang tersusun dan profesional, sekali gus menjadikannya model pondok moden yang menepati keperluan zaman tanpa mengabaikan asas keilmuan tradisional.
Penubuhannya merupakan antara inisiatif strategik MAIWP dalam memperkasa warisan keilmuan Islam serta melahirkan generasi pewaris ulama yang berintegriti, berakhlak dan berwawasan.

Bina generasi celik ilmu moden, pakar ilmu Islam sebenar
Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menghidupkan semula peranan institusi ilmu Islam sebagai teras pembangunan ummah, bermatlamat membina generasi yang bukan hanya celik ilmu moden bahkan memahami dan mendalami akar ilmu Islam sebenar.

Di Al-’Abaqirah pelajar ditawarkan pengajian yang memberi tumpuan kepada bidang Tauhid; Fiqh; Akhlak; Hadis; Nahu; Al-Quran dan Tajwid serta pengukuhan Bahasa Arab namun tetap disokong oleh elemen pembinaan sahsiah, kepimpinan dan keterampilan dakwah.
Pastinya ia adalah asas penting kepada pembentukan masyarakat berilmu, beradab dan berakhlak mulia yang bakal menjadi pewaris negara pada masa depan.
Bukan sekadar ’jaguh kampung’
Sejak penubuhannya, Al-‘Abaqirah sering mencatat pelbagai kejayaan dan pengiktirafan termasuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pengajian turath dan keterampilan tinggi serta diterima untuk menyambung pelajaran ke institusi terkemuka di dalam dan luar negara.
Selain itu, Al-‘Abaqirah juga berjaya mewujudkan jaringan kerjasama dengan institusi keilmuan melalui tokoh agama terkemuka luar negara dan tenaga pakar agama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Dalam masa sama, ia juga menyediakan kemudahan prasarana yang kondusif serta sistem sokongan pembelajaran digital yang menyeluruh, menganjurkan muzakarah kitab dan seminar turath secara berkala.
Al-‘Abaqirah juga pernah dinobatkan Johan Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Arab, Pembacaan Kitab Turath; Penulisan Bahasa Arab (Kitabatul Maqal) dan Hafazan Al-Quran disamping penyertaan peringkat Antarabangsa dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab.
MAIWP komited perkukuh ekosistem pendidikan Islam secara holistik
Paling utama, penubuhan dan pembangunan Al-‘Abaqirah adalah cerminan komitmen MAIWP dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Islam yang holistik.
MAIWP bukan sahaja menyediakan sokongan kewangan dan logistik, malah turut memastikan institusi itu dibimbing oleh tenaga pengajar berkelayakan serta ditadbir dengan tadbir urus yang baik dan berkesan.
Perancangan dekad kedua penubuhan Al-‘Abaqirah
Memasuki dekad kedua penubuhannya, Al-‘Abaqirah menyasarkan perluasan program-program berimpak tinggi termasuk menghasilkan modul turath Interaktif, peluasan program pemantapan hafazan dan talaqqi dan peningkatan jalinan strategik di peringkat serantau dan antarabangsa.

MAIWP optimis Al-‘Abaqirah akan terus menjadi mercu tanda institusi pendidikan Islam kontemporari yang mengekalkan roh keilmuan klasik.
Ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan rabbani yang berdaya saing seiring dengan wadah pembinaan peribadi mukmin sejati yang berpaksikan ilmu, akhlak dan keberkatan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai institusi itu boleh melayari Facebook dan Instagram rasmi MAIWP dan Pondok Moden Al-‘Abaqirah MAIWP atau layari www.maiwp.gov.my. – MalaysiaGazette
















