Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika melawat reruai yang disediakan pada Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor 2025 di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 13 JUN 2025

BANGI – Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji cadangan menggabungkan dua projek loji rawatan sisa kepada tenaga  (WTE) yang dirancang di Jeram dan Rawang.

Ia bertujuan untuk menampung lonjakan sisa pepejal harian negeri itu serta mengurangkan kebimbangan penduduk terhadap pembinaan loji tersebut secara serentak.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu utama yang dibangkitkan penduduk bukan hanya berkaitan teknologi WTE tetapi kerana dua projek itu diumumkan dalam masa yang hampir serentak di kawasan yang berdekatan.

“Kita akan melihat kepada keperluan-keperluan semasa sebab kat situ ada dua projek sebenarnya. Yang dibantah bukannya projek itu tapi kenapa sampai dua sekaligus.

“Satu melibatkan kerajaan Persekutuan (Rawang) dan satu lagi kerajaan negeri (Jeram). Jadi kita sedang berbincang dengan UKAS dan KPKT untuk gabungkan kedua-duanya. Kalau digabungkan, isu ini akan kurang kesannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di sini hari ini.

Amirudin turut menjelaskan loji di Jeram yang kini hampir siap akan menjadi model operasi WTE yang lebih moden dan selamat.

“Saya percaya bila ia beroperasi hujung tahun ini atau awal tahun depan, ia akan beri gambaran sebenar bahawa WTE ini tidaklah sebimbang yang disangka,” tambahnya.

Namun begitu, katanya, loji Jeram hanya mampu menguruskan kira-kira 3,500 tan sisa sehari sedangkan sisa yang dihasilkan Selangor kini mencecah lebih 7,000 tan sehari.

“Itu sebab kita kena explore tapak baharu seperti di Tanjir 12. WTE yang dirancang sebelum ini hanya untuk Kuala Lumpur kira-kira 1,000 tan.

“Sekarang kita ada baki sekitar 2,000 tan lagi yang belum dapat diurus secara struktur,” katanya.

Menurut Amirudin, sebarang rancangan pembinaan masih di peringkat awal dan belum mencapai fasa Kebenaran Merancang (KM).

Sebaliknya ia kini sedang melalui proses Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun.

Beliau turut memberi jaminan semua bantahan yang dikemukakan diambil kira dalam perancangan jangka panjang kerajaan negeri dan proses libat urus akan diteruskan.

“Kita cukup faham dengan bantahan-bantahan tersebut. Malahan kita sedang pertimbangkan supaya ada gabungan antara WTE Rawang dan Jeram.

“Kalau boleh digabungkan, ia akan jadi satu yang sangat baik. Tapi funding dan hos projek berbeza,” ujarnya.

Walaupun Selangor perlu melaksanakan pelan WTE demi kelangsungan dan kelestarian pengurusan sisa jangka panjang namun prosesnya tetap akan dilakukan secara telus dan menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast