KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor telah menahan reman seorang Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempatnya bekerja.
Majistret Sivashangari Nagalingam membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 19 Jun 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret 1, Kompleks Mahkamah Melaka pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan sekitar pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
“Semalam SPRM telah menahan reman empat individu kerana disyaki terbabit salah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
“Susulan tangkapan itu, SPRM telah mendapat maklumat tambahan bahawa pengerusi ini telah bersubahat dengan keempat-empat suspek terbabit,” katanya.
Sumber berkata, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025 .
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















