Amir Saeid Iravani

NEW YORK – Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) bersekongkol dalam serangan Israel ke atas Republik Islam itu, dakwaan yang dinafikan oleh Washington, sambil memberitahu Tehran di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa ia akan menjadi “bijak” untuk berunding mengenai program nuklearnya.

Iran melancarkan serangan balas ke atas Israel lewat 13 Jun selepas Israel menyerang Iran lebih awal pada hari yang sama.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon berkata, Iran telah “bersiap untuk perang” dan serangan Israel adalah “tindakan mempertahankan negara”.

Manakala wakil Iran, Amir Saeid Iravani, menuduh Israel cuba “mematikan diplomasi, mensabotaj rundingan, dan menyeret rantau ini ke dalam konflik yang lebih luas,” dan berkata penglibatan Washington adalah “di luar keraguan.”

“Mereka yang menyokong rejim ini, dengan Amerika Syarikat di barisan hadapan, mesti faham bahawa mereka turut bersubahat. Dengan membantu dan membenarkan jenayah ini, mereka turut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap akibatnya,” kata Iravani kepada Majlis Keselamatan.

Presiden Donald Trump pada 13 Jun berkata, beliau telah memberikan Tehran satu tempoh selama 60 hari, yang tamat sehari sebelumnya, untuk mencapai perjanjian mengenai program pengayaan uranium yang semakin meningkat.

Pusingan keenam rundingan antara AS dan Iran dijadualkan berlangsung di Oman pada 15 Jun, tetapi masih belum jelas sama ada ia akan diteruskan.

Danon berkata, Israel telah bersabar walaupun berdepan risiko yang semakin meningkat.

“Kami menunggu agar diplomasi berhasil… Kami melihat rundingan yang berlarutan, sementara Iran membuat pengakuan palsu atau enggan menerima syarat paling asas,” katanya kepada Majlis Keselamatan.

Beliau berkata, risikan mengesahkan Iran berkemungkinan telah menghasilkan bahan fisil mencukupi untuk beberapa bom dalam masa beberapa hari sahaja.

Pegawai kanan AS, McCoy Pitt, berkata, Amerika Syarikat akan terus mencari penyelesaian diplomatik bagi memastikan Iran tidak akan memperoleh senjata nuklear atau menjadi ancaman kepada kestabilan di Timur Tengah.

“Pimpinan Iran sepatutnya bijak untuk berunding pada waktu ini,” kata Pitt kepada majlis itu.

Beliau turut menjelaskan, walaupun Washington dimaklumkan lebih awal mengenai serangan awal Israel, AS tidak terlibat dari segi ketenteraan.

Ketua pengawas nuklear PBB, Rafael Grossi, memberitahu Majlis Keselamatan bahawa loji pengayaan perintis di tapak nuklear Natanz Iran telah musnah, dan Iran turut melaporkan tapak nuklear di Fordow dan Isfahan juga telah diserang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast