Dana sebanyak RM18juta berbentuk biasiswa telah disalurkan pelajar-pelajar AIMST oleh MIED tahun ini.

SUNGAI PETANI – Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) meneruskan iltizamnya dalam memperkasakan pendidikan tinggi apabila menyalurkan sebanyak RM18 juta dalam bentuk biasiswa kepada 726 pelajar Universiti AIMST bagi tahun ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MIED untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh pelajar dari semua kaum dan lapisan masyarakat khususnya mereka dari keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusi MIED merangkap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, jumlah yang disumbangkan itu bukan sekadar angka sebaliknya membawa makna besar dalam membina masa depan anak muda mengubah nasib keluarga dan memperkukuh mobiliti sosial komuniti.

Beliau berkata, pendidikan bukan sahaja alat untuk mencapai kejayaan individu malah merupakan pemangkin kepada kemajuan negara secara keseluruhan.

“Sejak MIED ditubuhkan pada tahun 1984 oleh mendiang Tun S Samy Vellu, lebih 14,000 pelajar telah menerima manfaat lebih RM216 juta dalam bentuk bantuan pendidikan.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada visi besar mendiang Tun untuk membina sebuah ekosistem pendidikan yang mampan menerusi penubuhan MIED, Kolej TAFE dan Universiti AIMST,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek MIED 2025, di kampus AIMST hari ini.

Vigneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan kerajaan dalam memastikan dana pendidikan seperti ini terus diberi keutamaan.

Katanya, komitmen Perdana Menteri dalam menyokong pendidikan rakyat, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah amat bermakna dan menjadi asas penting dalam menjamin keseimbangan sosial negara.

Dalam pada itu, Vigneswaran kekal komited untuk memperluaskan pelaburan dalam bidang STEM, TVET dan pembangunan belia di peringkat akar umbi demi menjamin masa depan negara yang berasaskan inovasi, kemahiran selain peluang adil untuk semua rakyat Malaysia.

Tan Sri SA Vigneswaran menyerahkan biasiswa kepada salah seorang pelajar Universiti Aimst hari ini.

“MIED bukan sekadar institusi pemberi biasiswa, tetapi adalah janji suci kepada setiap pelajar bahawa tiada sesiapa pun yang akan tertinggal di belakang hanya kerana kekurangan kewangan.

“Sama ada Melayu, Cina, India atau mana-mana kaum sekalipun, pendidikan harus menjadi jambatan harapan dan pemacu kemajuan bangsa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast