Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat potrait lukisan wajahnya selepas perasmian Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat kebangsaan ketika di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kejayaan dalam peralihan ekonomi dan transformasi digital banyak bergantung kepada dasar dan tindakan kerajaan namun penentu utama tetap generasi muda.

Justeru itu, beliau menggesa generasi muda tidak leka atau mudah diperdaya dengan politik sempit sebaliknya perlu membina keyakinan diri berlandaskan iman, ilmu dan pencerahan.

“Yakin kerana iman kita, yakin kerana ilmu kita, yakin kerana pencerahan kita. Tidak mudah diperdaya. Tidak merendah dan menghina orang lain sama ada sesama kaum atau kaum lain.

“Yakin dengan keupayaan negara ini untuk diangkat sebagai antara negara hebat di rantau ini,” ucapnya semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Dataran Merdeka malam ini.

Selain Hannah, hadir sama timbalannya, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Sementara itu, Anwar turut menyentuh pencapaian dalam bidang pendidikan dan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi pilihan ramai pada masa kini.

“Dulu susah nak suruh anak masuk TVET. Sekarang semua perkhidmatan baru, digital, tenaga, AI, pusat data semua perlukan tenaga mahir dan TVET. Tahun ini sahaja, permohonan ke TVET mencecah 140,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mengiktiraf disiplin dan semangat kerja anak muda sebagai sebab utama syarikat-syarikat gergasi seperti Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Katanya, semua syarikat ini memilih Malaysia kerana disiplin dan semangat pekerja khususnya anak muda dan bukan kerana politik semata-mata.

Selain itu sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap kebajikan pekerja muda, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Skim Gaji Perkhidmatan Awam (SSIP) serta arahan kepada GLC dan GLIC untuk menaikkan gaji minimum.

“Ada syarikat untung berbilion tapi gaji pekerja masih rendah. Kita beri isyarat jelas, untung tinggi mesti diterjemah kepada upah yang lebih baik kepada pekerja terutama anak muda. Ini hanya berlaku di bawah kerajaan Madani,” tegasnya.

Anwar juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak tambahan daripada RM3 juta kepada RM4 juta untuk Majlis Belia Malaysia (MBM) serta menyatakan komitmen kerajaan dalam menyegerakan dana bagi penubuhan Akdemi Sepak Takraw Malaysia.

”Sejak beberapa hari lepas, saya ke sana sini. Umum peruntukan tambahan. Kenapa kita boleh senang berikan dana tambahan.. kerana Kerajaan Madani cermat, tatakelolanya dijaga dan tidak izinkan pemimpinnya sakau duit rakyat,” ujarnya.

Selain itu, Anwar juga sempat menyeru agar anak muda tidak lagi terpedaya dengan retorik politikus yang memperalatkan semangat Melayu namun ketika berkuasa merompak harta rakyat termasuk tanah rizab Melayu.

“Jangan lagi tertipu. Ada orang masa tiada kuasa, laung perjuangan Melayu. Bila dapat kuasa, tanah rizab Melayu pun mereka ambil. Cukup-cukuplah.

”Negara ini milik kita bersama tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, semua boleh duduk bersama,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast