Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi menaik taraf fasiliti sedia ada untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw negara.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu pelaburan strategik terhadap sukan tradisional yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, selain mengoptimumkan kemudahan kerajaan sedia ada.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana saya juga tak sangka Perdana Menteri akan meluluskan RM6 juta tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Pembudayaan Sukan Untuk Golongan Minoriti – Istimewa Run Kuala Lumpur Car Free Morning 2025, di Dataran DBKL, di sini, hari ini.

Menurutnya, fasiliti yang bakal dinaik taraf itu terletak di atas tanah milik Institut Sukan Negara (ISN) dan telah dipajak kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia bagi tujuan pembangunan sukan berkenaan.

“Kita telah berikan pajakan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia untuk mereka bina akademi dan tempat khas yang mereka namakan sebagai stadium untuk sepak takraw.

“Ini merupakan satu perkongsian yang bagus kerana KBS sekarang tidak bercadang untuk membina fasiliti baharu atau akademi bagi semua 103 jenis sukan. Kita tak mampu buat semuanya,” ujarnya.

Keputusan kerajaan memberi sokongan kepada pembangunan sukan sepak takraw adalah berdasarkan peningkatan prestasi skuad negara dalam kejohanan peringkat antarabangsa, termasuk Piala Dunia dan Piala Asia baru-baru ini.

“Sepak takraw adalah sukan tradisi dan sangat popular. Bila kita lihat prestasi mereka, Persatuan Sepak Takraw Malaysia menulis kepada kita memohon supaya Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan memberikan sedikit dana bagi menaik taraf fasiliti sedia ada untuk dijadikan Akademi Sepak Takraw,” tambahnya.

Bagaimanapun, Hannah menjelaskan, peruntukan tersebut akan disertakan dengan beberapa syarat yang akan diperincikan bersama pihak persatuan dalam masa terdekat.

“Ada syarat-syaratnya dan saya akan adakan perbincangan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia secepat mungkin.

“Hasrat Perdana Menteri adalah untuk merealisasikan akademi tersebut secepat mungkin sebelum pembentangan bajet,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan hoki kebangsaan yang dijadualkan menentang Pakistan malam ini.

“Saya berharap mereka akan laksanakan yang terbaik. Hoki juga merupakan satu sukan popular dan pernah membawa banyak kejayaan kepada negara.

“Saya yakin jika kita anjurkan lebih banyak perlawanan di gelanggang sendiri, ia akan memberi lebih pendedahan kepada atlet kita,” ucapnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast