KUANTAN – Seramai 85 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang di enam pusat hiburan, di sini, dalam operasi dijalankan awal pagi hari ini.

Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan berkata, turut ditahan ialah 14 pekerja lelaki warga asing turut ditahan dalam operasi serentak kira-kira jam 1 pagi ke atas pusat hiburan di Jalan Gambut, dekat Kuantan.

Menurutnya daripada 99 warga asing yang ditahan, 81 merupakan warga Thailand, Bangladesh (12), Laos (4), Yaman (1) dan China (1).

“Seramai 369 individu telah diperiksa dalam operasi Ops Gegar yang dibantu JIM Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan.

“Kesemua warga asing yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Kemayan, Bera sebelum tindakan lanjut diambil ke atas mereka,” katanya.

Tambah Nursafariza, hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalah guna permit kerja.

Pihaknya akan memanggil enam pemilik dan penyelia pusat hiburan terbabit untuk siasatan lanjut.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast