Ruang dalaman rumah pada majlis serahan kunci kepada 500 pembeli projek perumahan Aspire Residence yang menunggu sejak tujuh tahun di Aspire Residence, Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 24 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Unit kediaman yang dijual di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Akta 118) adalah dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengecualian berkenaan ditetapkan berdasarkan hak milik tanah atau tujuan penggunaan hartanah tersebut.

“Ini bermaksud semua bangunan kediaman termasuk apartmen servis yang terletak di tanah komersial adalah dikecualikan daripada SST, selagi ia bertujuan untuk kegunaan kediaman dan tertakluk di bawah Akta Pemajuan Perumahan,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Nga berkata, beliau mengadakan rundingan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizah, susulan maklum balas daripada pihak industri terbabit yang menyuarakan kebimbangan berkenaan pelaksanaan SST bersasar.

Selain itu katanya, isu percukaian berlapis (cascading tax) mampu diselesaikan melalui pengecualian Business-to-Business (B2B) bagi memastikan cukai perkhidmatan dikenakan hanya pada satu peringkat sahaja.

Beliau berkata, menurut Kementerian Kewangan, bahan binaan asas seperti simen, agregat dan pasir kekal dikenakan cukai jualan.

Daripada 400 kod tarif bagi bahan binaan, cukai jualan hanya dinaikkan bagi lapan kod tarif sahaja, yang melibatkan barangan seperti tong, kaca laminasi, dan jaring.

Jelasnya, ia hanya memberi kesan kepada 2 peratus daripada jumlah keseluruhan kod tarif bahan binaan.

“Kontraktor boleh memilih untuk memisahkan kos bahan daripada caj perkhidmatan supaya cukai perkhidmatan dikenakan hanya kepada perkhidmatan pembinaan,” tambahnya.

Ujar Nga, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk terus berkolaborasi dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan pelaksanaan dasar cukai yang adil, melindungi kepentingan pembeli rumah, dan menyokong sektor perumahan yang stabil serta mampan.

“Selaras dengan aspirasi Madani, KPKT kekal komited dalam memastikan kemampuan memiliki rumah serta melindungi kepentingan pembeli rumah di bawah kerangka SST yang disemak semula,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast