Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu tampil dengan kenyataan tegas dan jelas berhubung konflik serangan Israel ke atas Iran ketika ini, sekali gus memanfaatkan kedudukan negara selaku Pengerusi ASEAN.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Malaysia bukan sahaja perlu menggembleng dan menjuarai suara serta komitmen negara anggota ke arah penyuraian konflik yang berlaku, tetapi turut memainkan peranan lebih besar dan berkesan di pentas dunia.

Antaranya, kata beliau, termasuk melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB); Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Negara-negara Komanwel bagi mencapai matlamat yang sama.

“Pas percaya semua pihak yang mencintai keamanan dan penyelesaian damai kepada konflik perlu mengutuk keras serangan terbaru Israel ini dan semua tindakan ganas serta menyalahi undang-undang serta konsensus antarabangsa membabitkan rejim tersebut kerana ia akan mengheret seluruh dunia ke dalam konflik lebih besar dan lebih meluas, termasuk kesan destruktifnya ke atas perdagangan dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Takiyuddin, Pas mengutuk sekeras-kerasnya serangan regim Israel ke atas Iran itu yang bukan sahaja berpotensi memburukkan lagi keadaan tegang sedia ada di rantau terbabit, tetapi turut mendedahkan niat sebenar Israel mahu menggagalkan semua usaha ke arah penyelesaian diplomatik kepada konflik yang berlaku.

Menurut beliau, berdasarkan rentetan peristiwa dan tindakan regim Israel di rantau itu yang semakin agresif bermula dengan serangan 7 Oktober 2023, jelas Israel mahu menghapuskan semua pesaing terhadap kuasa hegemoni dan objektif peluasan wilayahnya, dengan Iran menjadi sasaran terbesar setelah pencabar-pencabar lain dilumpuhkan sebelum ini.

“Ini termasuklah melalui operasi pembunuhan (assassination) tokoh dan individu penting negara pesaing, sama ada tentera atau bukan tentera, yang dilihat boleh menjadi ancaman kepada Israel,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast