KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu malu atau segan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan jauh lebih berkesan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan juga tidak perlu malu untuk menyatakan pelaksanaan GST sebenarnya jauh lebih baik dan tidak membebankan rakyat berbanding SST.
Beliau mengambil contoh rakyat ketika ini perlu membayar SST iaitu antara lima hingga 10 peratus cukai jualan ditambah dengan enam peratus cukai perkhidmatan.
Dalam masa sama, ujarnya, rakyat juga perlu berdepan pengurangan jenis barangan bercukai dari 8,084 barang kepada 1,813 barang.
“Cadangan kami kepada kerajaan, laksanakanlah semula GST yang jauh lebih baik dan berkesan.
“Jangan malu jangan segan untuk menyatakan polisi perlaksanaan GST dulu jauh lebih baik dan tidak membebankan rakyat.
“Nanti guna sahaja alasan manifesto hapus GST bukan kitab suci.
“Yang penting rakyat tidak terbeban dan cukai dapat dikutip dengan baik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar cukai jualan secara berskala serta perluasan skop Cukai Jualan bermula 1 Julai ini.
Barangan terpilih dan bukan keperluan akan dikenakan cukai jualan antara lima hingga 10 peratus, manakala barangan mewah seperti ketam raja, buah import, cendawan truffle, minyak pati dan kain sutera akan dikenakan cukai lima peratus. – MalaysiaGazette
















