KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan dijadual ‘sibuk’ dengan pendengaran dan keputusan kes kepentingan awam sepanjang minggu depan.
Tiga kes itu melibatkan rayuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, ganti rugi kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) dan kes berkaitan SIS Forum (Malaysia) berhubung fatwa pihak berkuasa agama Selangor.
Tarikh-tarikh berkenaan diperoleh Malaysia Gazette hari ini hasil semakan terhadap laman web mahkamah.

Rabu ini (18 Jun), panel hakim dijadual mendengar rayuan Paul Yong terhadap sabitan merogol pembantu rumahnya.
Bekas ADUN itu merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu yang mengekalkan sabitan salah terhadapnya namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun dan hukuman sebat dua kali dikekalkan.
Pada 12 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bekas wakil rakyat DAP berusia 54 tahun itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya.
Bagaimanapun, pada 7 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak menolak permohonan pasukan pembelaan untuk mengemukakan keterangan itu atas alasan ia hanya bersifat dengar cakap.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed berpuas hati, keterangan tambahan itu tidak boleh diberi pertimbangan kerana wujud faktor-faktor lain yang menyebabkan kesahihannya diragui.
Isu berkaitan keterangan tambahan itu timbul selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada 5 Februari lalu diberitahu bahawa pembantu rumah yang menjadi mangsa rogol dalam kes itu telah mengaku memberi keterangan palsu sebagai alasan untuk pulang ke negara asalnya di Indonesia.
Perkara itu diberitahu saksi pembelaan tambahan, Pathurrahman, 58, seorang peguam yang beralamat di Sumbawa, Indonesia bahawa wanita tersebut datang ke pejabatnya untuk mendapatkan nasihat undang-undang.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul yang juga bekas Exco Kerajaan Perak bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia di dalam bilik rumahnya di Ipoh antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Pada hari yang sama (Rabu), panel berlainan akan mengumumkan ganti rugi yang perlu dibayar oleh Public Bank Bhd. kepada NFCorp dan empat yang lain kerana melanggar kontrak sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor pada 2012.
Keputusan taksiran ganti rugi itu akan disampaikan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Pada 26 Mei lalu, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abu Bakar Jais menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman yang dikemukakan kelima-limanya berhubung liabiliti.
Panel itu sebaliknya membenarkan rayuan balas NFCorp dan empat yang lain untuk mengetepikan ganti rugi nominal RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Panel berkenaan sebulat suara turut memberikan mereka hak menuntut ganti rugi teladan dan teruk daripada bank berkenaan.
Kelima-limanya merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos 2023 yang mengarahkan Public Bank membayar RM510,000 kepada mereka iaitu ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.
Selain NFCorp, pihak lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Sementara itu, pada 19 Jun (Khamis), Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan mereka.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
Fatwa itu yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak. – MalaysiaGazette
















