JASIN – Kes penipuan pakej haji terhadap 47 jemaah Malaysia mungkin berpunca daripada kemasukan mereka secara haram ke Jeddah untuk mengerjakan haji dengan menggunakan visa pelancong.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, disebabkan itu adalah sukar untuk kerajaan mengesan kesalahan tersebut jika jemaah berkenaan masuk ke Jeddah melalui negara lain.
“Ada kemungkinan (masuk secara haram) dia (kumpulan jemaah) pergi ke tempat lain dulu macam dalam kes ini saya tengok dari Jeddah mereka di bawa keluar melalui Turkiye bukan terus ke sini (Malaysia).
“Jadi kemungkinan juga mereka masa pergi pun ke Turkiye dulu, lepas itu dari sana mereka baru masuk ke Jeddah dan ini kita tak boleh nak halang kalau alasannya adalah untuk bercuti dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Surau Almunawwarah di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini hari ini.

Mohd Na’im (kanan) menyampaikan sumbangan naskhah al-Quran kepada penerima selepas mengadakan lawatan ke Surau Almunawwarah di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, Jasin, Melaka hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, kerajaan sudah melakukan pelbagai cara untuk membendung kes penipuan ini termasuk mengeluarkan tidak kurang daripada 10 kenyataan media setiap kali tiba musim haji untuk mengingatkan jemaah supaya berhati-hati dengan penipuan haji.
Antara usaha yang telah dilakukan adalah melalui task force (pasukan khas) bersama Tabung Haji, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga dapat menyelamatkan kira-kira 80 jemaah haji daripada berlepas ke Tanah Suci Jun lalu apabila mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Mereka berjaya ditahan sebab memang nak pergi haji (guna visa haji) jadi mudah kita nak tahan tapi kalau yang menggunakan modus operandi pergi ke negara lain untuk bercuti macam mana kita nak halang?,” katanya.
Ditanya adakah ejen pelancongan yang terlibat dalam penipuan ini merupakan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberi tauliah oleh Tabung Haji (TH), Mohd Na’im berkata, beliau yakin ia bukanlah PJH yang ditauliahkan TH.
“Saya yakin yang ini bukan syarikat PJH yang diberikan tauliah ataupun lesen oleh Tabung Haji, mungkin dia ini ejen pelancongan yang lain,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















