Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

BANGI – Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 bakal dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas menerima perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, akta tersebut telah diwartakan dan kini hanya menunggu tandatangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, untuk menetapkan tarikh kuat kuasa.

“Ia sudah diwartakan. Sekarang hanya menunggu menteri (Fahmi) menandatangani tarikh penguatkuasaan.

“Sebaik sahaja ditandatangani, undang-undang ini akan berkuat kuasa dan kerajaan boleh serta-merta mengambil tindakan terhadap hantaran dalam talian yang melanggar undang-undang.

“Undang-undang ini juga menetapkan tanggungjawab tertentu kepada penyedia platform,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Akademi Perundangan Negara, di sini, hari ini.

Azalina memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa bersama, iaitu Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan bagi menentukan takrifan bagi bentuk bahaya dalam talian (online harms).

Akta berkenaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.

Penyedia platform juga diwajibkan mengemukakan Pelan Keselamatan Digital tahunan yang memperincikan strategi keselamatan serta pencapaian mereka dalam melindungi pengguna.

Dalam perkembangan lain, Azalina turut menyentuh cadangannya agar kerajaan mempertimbangkan pindaan terhadap Kanun Keseksaan atau memperkenalkan undang-undang baharu berkaitan kesalahan kematian cuai korporat (corporate manslaughter) susulan tragedi kemalangan bas di Gerik yang meragut nyawa baru-baru ini.

Menurut beliau, cadangan itu merupakan pandangan peribadi, namun menegaskan bahawa syarikat perlu bertanggungjawab dalam memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat dan sesuai digunakan.

“Bagi saya, korporat juga perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan pengangkutan yang mereka sediakan,” ujarnya.

Terdahulu, Azalina memberi contoh United Kingdom yang telah menggubal undang-undang khusus bagi kesalahan korporat kematian cuai selepas beberapa insiden kematian di tempat kerja yang tidak dapat dikenakan tindakan jenayah terhadap entiti korporat di bawah undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast