Barangan peribadi milik mangsa bertaburan ketika kerja pembersihan dan pengalihan bas yang terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan 15 pelajar UPSI di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi di Gerik, Perak. Foto ANIR NABILAFIQ ANUAR, 09 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menegaskan adalah tidak wajar untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pemandu semata-mata dalam nahas melibatkan bas yang mengorbankan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Presiden MSOSH, Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, walaupun tidak menolak faktor manusia seperti kecuaian atau kesilapan pemandu boleh menjadi penyumbang kepada kemalangan, namun tidak bermaksud majikan atau pemilik syarikat pengangkutan boleh lepas tangan dan menuding jari sepenuhnya kepada pekerja bawahan.

Ujar beliau, kemalangan bas itu adalah contoh klasik kegagalan tanggungjawab organisasi yang sepatutnya mengambil langkah pencegahan dan kawalan risiko komprehensif.

Ahmad Fakhrul Anuar Ismail – Foto: FB MSOSH

“Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) menyatakan dengan jelas bahawa majikan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya.

“Seksyen 17 pula menetapkan tanggungjawab majikan dalam memastikan keselamatan pihak lain yang mungkin terjejas oleh operasi mereka termasuk penumpang, pelajar dan orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fakhrul Anuar membangkitkan beberapa perkara melibatkan pemilik syarikat bas atau majikan yang boleh dipersoalkan susulan kejadian nahas tersebut.

Antaranya, kata beliau, sama ada syarikat bas berkenaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan harian bas sebelum memulakan perjalanan.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat SOP dan kriteria pemilihan pemandu yang telus dan berdasarkan kesihatan, pengalaman serta rekod prestasi sebelum diambil bekerja.

Selain itu, katanya, pengusaha bas juga perlu menjelaskan sama ada pemandu dibekalkan dengan SOP pemanduan selamat termasuk pengurusan keletihan dan waktu rehat.

Tambahnya, pengusaha bas tersebut juga perlu menjelaskan sama ada wujud sistem pemantauan perjalanan dan kelajuan secara langsung (real-time monitoring) serta terdapat penilaian risiko perjalanan dilakukan berkenaan waktu perjalanan, keadaan cuaca dan laluan.

“Jika semua ini tiada atau tidak dipatuhi, maka majikan dan syarikat pengangkutan adalah gagal melaksanakan tanggungjawab yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, tanggungjawab pemilik syarikat bukan sekadar menyediakan bas dan mengaut keuntungan, sebaliknya wajib memastikan semua aspek operasi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Ia jelasnya, termasuk dari aspek pemilihan pemandu dan penyelenggaraan bas sehingga kepada pemantauan perjalanan secara menyeluruh.

“MSOSH menyeru agar siasatan insiden ini dilakukan secara menyeluruh, merangkumi semua aspek pengurusan dan operasi, dan bukan sekadar menyalahkan individu di lapangan.

“Ini penting bagi memastikan tragedi seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, seramai 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak.

Kemalangan awal pagi itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast