KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kegiatan sindiket yang menggunakan pelbagai akaun media sosial bagi menawarkan khidmat membawa masuk dan keluar migran.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pada Februari dan Mac lalu, Bahagian D3 telah melancarkan Op Khas bagi membanteras sindiket penyeludupan migran yang menggunakan media sosial sebagai platform penyeludupan migran.
Menurutnya, sebanyak enam serbuan berasingan telah dijalankan di kawasan Lembah Klang.
“Hasil dari operasi yang dijalankan seramai 146 orang migran warga Indonesia telah ditangkap selain penahanan 24 orang kerana menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan berperanan sebagai penjaga rumah transit, pengrekrut, tekong darat, tekong laut dan transporter,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan melalui iklan di media sosial berikutan capaian meluas dan penyamaran yang mudah di platform digital.
Tambahnya, sindiket akan menggunakan rumah penampungan sebagai tempat transit kepada migran-migran yang hendak keluar atau masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Tekong darat akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan sehingga sampai ke persisiran pantai.
“Laluan yang dipercayai sering menjadi ‘pilihan’ sindiket untuk keluar bawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin kebanyakannya di perairan Selangor,” ujarnya.
Soffian berkata, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia adalah antara RM 1,300 hingga RM 2,500 seorang.
Jelas Soffian, PDRM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan butiran pemilik akaun terbabit.
Tegasnya, PDRM mengingatkan tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah penyeludupan migran, demi memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan undang-undang dihormati.
“Tindakan tegas tanpa tolak ansur akan diambil terhadap individu atau sindiket yang terlibat dalam penyeludupan migran.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” ujarnya.
Baru-baru ini tular di media sosial beberapa video memaparkan tawaran aktiviti membawa masuk dan keluar beberapa warga asing melalui laluan laut secara tidak sah. – MalaysiaGazette
















