Paul Lee Kok Sun

KUALA LUMPUR – Persatuan Ping Pong Selangor (PPPS) mendakwa wujud pengambilalihan tidak sah telah berlaku terhadap kepimpinan persatuan ini, yang dilakukan
tanpa melalui mesyuarat agung tahunan (AGM) seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan persatuan.

Lebih membimbangkan, badan induk kebangsaan iaitu Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) telah mengesahkan dan mengiktiraf kepimpinan baharu yang tidak sah ini, manakala Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia pula telah meluluskan pendaftaran mereka tanpa sebarang siasatan terperinci dan bertentangan dengan proses sah AGM.

Naib PPPS, Datuk Ir. Dr. Paul Lee Kok Sun berkata, sejak aduan rasmi dikemukakan kepada pihak Pesuruhjaya Sukan pada 7 Mei lalu, pihaknya telah melakukan tujuh tindakan susulan termasuk penyerahan surat secara fizikal dan sidang media tergempar pada 3 Jun 2025.

Namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas rasmi diterima daripada pihak berwajib.

“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan integriti pentadbiran sukan negara, malah mencetuskan kebimbangan sebarang persatuan boleh diambil alih secara tidak sah dan tetap mendapat pengesahan rasmi daripada badan berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, PPPS menyeru agar Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh, segera bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kemelut ini secara adil dan mengikut undang-undang.

Malah, beliau mahu siasatan telus dijalankan terhadap TTAM dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan berkaitan kelulusan kepimpinan yang tidak sah.

Selain itu, Paul juga mahu kepimpinan sah Persatuan Ping Pong Selangor dipulihkan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persatuan yang didaftar.

“Sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, Persatuan Ping Pong Selangor akan mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kemungkinan salah guna kuasa atau kecuaian serius yang berlaku,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast