BATAM – Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau mengharumkan nama negara apabila menjayakan program khidmat masyarakat antarabangsa di Batam, Indonesia.
Program dinamakan Batam Society Outreach Program itu merupakan anjuran bersama Persatuan Briged Sukarelawan dan Komander Kesatria UiTM Rembau, yang berlangsung selama empat hari tiga malam bermula 30 Mei lalu.
Antara tumpuan utama program ialah sesi pertukaran bahasa isyarat bersama pelajar istimewa di Sekolah Luar Biasa (SLB) Kartini, sebuah institusi pendidikan khas di Batam.
Para peserta dari Malaysia berkongsi kemahiran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dengan 30 pelajar SLB Kartini yang menggunakan sistem bahasa isyarat tempatan.
“Ini pengalaman luar biasa. Kami bukan sahaja belajar mengenai perbezaan bahasa isyarat, malah dapat merasai keikhlasan dan semangat pelajar-pelajar di sini,” kata Andika salah seorang peserta program.
Program ini turut diserikan dengan lawatan ke beberapa lokasi bersejarah dan budaya seperti Muzium Batam Raja Ali Haji, Masjid Cheng Ho dan Jambatan Barelang.
Lawatan ini membuka peluang kepada peserta untuk mendalami warisan tempatan di samping menyemai semangat hormat terhadap budaya serumpun.
Bagi pihak SLB Kartini, kehadiran pelajar UiTM membawa sinar baru.
“Interaksi bersama pelajar luar negara seperti ini menaikkan semangat anak-anak kami. Mereka rasa dihargai dan lebih bersemangat untuk belajar,” ujar Puan Sri Dewi, Pengetua sekolah tersebut.
Walaupun berdepan sedikit cabaran seperti perbezaan bahasa dan jadual padat, peserta tetap menunjukkan semangat tinggi sepanjang program berlangsung.
Antara saranan penambahbaikan ialah penganjuran bengkel perbandingan bahasa isyarat sebelum lawatan sebenar, agar komunikasi lebih lancar.
Selain aktiviti akademik, peserta turut menjalani lawatan ilmiah dan kebudayaan ke beberapa lokasi penting seperti Muzium Batam Raja Ali Haji, Masjid Muhammad Cheng Ho, Jambatan Barelang, dan Pasar Jodoh.
Lawatan ini bertujuan memperluas pengetahuan pelajar tentang sejarah, seni bina Islam serta kehidupan masyarakat Batam.
Batam Society Outreach Program berjaya mencapai matlamat utamanya – menyemai nilai kemanusiaan, memperluas cakrawala pemikiran pelajar, dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi saluran pendidikan dan sukarelawan.















