TEL AVIV – Penduduk Israel bimbang mengenai keselamatan tempat tinggal mereka selepas satu serangan peluru berpandu balistik dari Iran merosakkan dinding sebuah bangunan di tengah Israel dan menembusi tempat perlindungan yang kukuh.
Insiden yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang itu, membuka mata ramai tentang ketahanan sistem perlindungan sedia ada di Israel.
Penyelidikan awal oleh badan tentera perlindungan awam Israel menunjukkan bahawa letupan itu menyebabkan kerosakan serius kepada bunker yang sepatutnya melindungi penghuninya.
Ini kerana terdapat tiga mayat mangsa ditemui di dalam tempat perlindungan tersebut, manakala seorang lagi ditemui di bangunan berhampiran dipercayai akibat impak letupan.
Isu ini mencetuskan kebimbangan meluas di kalangan penduduk Israel, khususnya di bandar-bandar utama seperti Tel Aviv dan Haifa, yang kini menghadapi kekurangan serius tempat perlindungan bom yang mampu menahan serangan peluru berpandu berat.
Menurut Komando Home Front Israel, hampir 40 peratus penduduk Tel Aviv tinggal di bangunan yang tidak mempunyai tempat perlindungan yang memenuhi piawaian keselamatan terkini.
Lebih memburukkan keadaan, ribuan bangunan lama di bandar tersebut langsung tidak dilengkapi dengan infrastruktur perlindungan yang sewajarnya.
Penduduk bandar mula meluahkan rasa takut dan kecewa apabila ada yang menyatakan mereka “tidak mempunyai tempat perlindungan,” malah jiran mereka “menutup pintu tempat perlindungan.”
Situasi ini semakin parah apabila jurucakap tentera Iran mengumumkan bahawa “semua tempat perlindungan tidak lagi selamat” dan menggesa rakyat Israel supaya mengosongkan semua kawasan yang berisiko.
Krisis tempat perlindungan ini menimbulkan ketakutan bukan sahaja di kalangan warga bandar, malah turut menjejaskan komuniti Arab yang sudah lama menghadapi kekurangan kemudahan perlindungan yang mencukupi.
Banyak kawasan Arab di dalam Garisan Hijau dikategorikan sebagai “kawasan terbuka” oleh sistem pertahanan udara Israel, menyebabkan mereka sering terpinggir daripada perlindungan sewajarnya.
Keadaan ini ditambah lagi oleh kekurangan pematuhan terhadap arahan keselamatan oleh sesetengah penduduk, sekali gus menyukarkan usaha-usaha kecemasan.
Kegagalan sistem pertahanan udara Israel menangkis peluru berpandu Iran juga semakin meruncingkan situasi, seperti serangan di bandar Tamra yang mengorbankan empat orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Datuk Bandar Tamra melaporkan hanya 40 peratus penduduknya mempunyai akses kepada tempat perlindungan yang selamat, dan bandar itu tidak mempunyai bunker awam seperti yang biasa terdapat di bandar-bandar lain di Israel.
Sebagai tindak balas kepada krisis itu, beberapa kemudahan awam seperti sekolah kini dibuka sebagai tempat perlindungan sementara bagi mereka yang tidak merasa selamat di kediaman sendiri.
Krisis itu menyerlahkan betapa pentingnya penambahbaikan sistem perlindungan sedia ada, di mana keadaan semasa memerlukan pendekatan yang lebih berkesan dan penyediaan tempat perlindungan yang benar-benar mampu melindungi penduduk daripada ancaman peluru berpandu berat. -AGENSI
















