JOHOR BAHRU – Pemain veteran, Syafiq Rahim dan Izham Tarmizi meninggalkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas lebih sedekad menabur bakti.

Turut mengikut jejak Syafiq dan Izham adalah Faizal Marlias yang menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2015.

Perkara tersebut dimaklumkan JDT menerusi Facebook rasmi kelab itu, Johor Southern Tigers, hari ini.

Selain bekas pemain kebangsaan itu, turut meninggalkan kelab juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu adalah Jordi Amat, Jese Rodriguez, Murilo Henrique, Jonathan Viera, Álvaro Gonzalez, Roque Mesa, Anselmo de Moraes dan Ramadhan Saifullah.

Jese dan Murilo masing-masing menyertai JDT pada musim lalu manakala Gonzalez, Viera, Mesa dan Anselmo tidak sampai setahun bersama Harimau Selatan.

“Kelab Bolasepak JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain berikut atas komitmen penuh mereka kepada Harimau Selatan.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan dan anda akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada Keluarga JDT. Luaskan Kuasamu Johor,” tulis hantaran tersebut.

Setakat ini, JDT telah menandatangani tiga pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025-2026.

Tiga pemain itu ialah seorang pemain tempatan, Ibrahim Manusi dan dua pemain import iaitu Jairo Da Silva dan Antonio Glauder. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast