Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa sesi ucaptamanya pada program yang dianjurkan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPTA) di Johor dibatalkan kerana beliau tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di negeri itu.

Sedangkan, kata beliau, ucaptama yang mahu disampaikan beliau adalah berkenaan inovasi dan ihsan (Madani) yang sepatutnya tiada kaitan dengan ‘kategori’ kuliah agama.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sejak bila IPTA tidak boleh mengadakan wacana akademik apatah lagi tentang agenda Madani kerajaan kecuali dengan tauliah mengajar agama.

“Jika ceramah agama dan kuliah agama umum atau di masjid memang bukan keminatan dan bukan medan saya.

“Itu saya faham dan maklum, dan saya tiada masalah dengan perkara tersebut.

“Malah, beberapa pihak dan negeri pernah mengundang saya ke program keagamaan sama ada ceramah atau forum di khalayak pun saya terpaksa menolak dengan baik kerana saya tidak berminat, kecuali ianya dalam Bahasa Arab ataupun Bahasa Inggeris, itupun jika dianjurkan oleh institusi akademik sahaja.

“Saya akur bahawa persoalan hukum-hakam dan wacana agama merupakan medan para asatizah dan agamawan, bukannya medan saya lagi. Saya sudah lama meninggalkan ruang tersebut.

“Tetapi wacana akademik di menara gading yang sepatutnya mempunyai autonomi? Ini satu yang baharu bagi saya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, perlu ada pemisahan jelas antara ruang akademik dan politik, dengan bidang kuasa pihak berkuasa agama di dalam apa-apa aktiviti dan ruang akademia.

Jelasnya, ia supaya pihak berkuasa agama tidak dibebankan dengan polemik akademia dan juga perbincangan politik yang menjangkaui bidang kuasa dan bidang kefahaman mereka.

“Terbayang saya bagaimana ketika saya diundang ke Oxford, University of Tehran, Hankuk University Korea, Durham University, Georgetown University US, Goethe University, Tsin Hwa University Peking, Moscow dan lain-lain universiti terkemuka dunia, tidak pula timbul isu pihak berkuasa agama mereka menghalang mantan menteri, ahli politik dan mantan ahli akademik seperti saya menyampaikan wacana akademik di dalam universiti di atas alasan tiada tauliah mengajar agama!” katanya.

Menurut Maszlee, beliau tidak terkilan dan tidak terkesan apatah lagi kesal dengan larangan itu, namun sedang menahan diri dari ketawa menyaksikan kelucuan lelukon tersebut.

Surely, we never fail to entertain the world with our perfectly subtle imbecility…(Sudah tentu, kita tidak pernah gagal menghiburkan dunia dengan kebodohan kita sempurna…),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast