Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan mekanisme atasi penjualan produk terlarang termasuk cecair vape dan e-rokok yang mengandungi dadah secara dalam talian dalam masa terdekat.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Komunikasi.

“Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan mengenai jualan produk dalam talian termasuk barangan yang boleh diklasifikasikan sebagai dadah atau narkotik yang disalah gunakan bersama dengan peranti vape.

“Ini menunjukkan keprihatinan jemaah Menteri dan kerajaan berhubung perkara yang sedang berlaku dalam masyarakat di mana kesemua produk terlarang dijual secara dalam talian dengan berleluasa,” katanya dalam sidang media selepas pasca mesyuarat jemaah menteri di sini hari ini.

Tambahnya, hasil perbincangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk keputusan lanjut termasuk tindakan terhadap penjual dan platform yang membenarkan penjualan produk tersebut.

Pada 5 Jun lalu, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau aktivti. penjualan vape dan e-rokok secara dalam talian.

Fahmi dilaporkan berkata, ia susulan peningkatan larangan penggunaannya di beberapa negeri serta kebimbangan wujud bahan sintetik dalam produk berkenaan.

Katanya, isu berkenaan akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sedang diteliti oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast