ISTANBUL – Imej satelit mendedahkan semua kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) telah meninggalkan sebuah pelabuhan penting di Bahrain, ketika Washington bersiap sedia menghadapi kemungkinan serangan terhadap Iran, lapor Newsweek pada Rabu.
Analisis imej satelit oleh pakar sumber terbuka, termasuk Ian Ellis di platform X, menunjukkan sekurang-kurangnya sebuah kapal tempur pesisir, empat kapal pemusnah periuk api, dan kapal sokongan operasi khas M/V Ocean Trader kini beroperasi dalam kawasan tanggungjawab Komando Pusat AS (Centcom).
Perpindahan kapal-kapal ini menandakan anjakan strategik ke lokasi penting di Teluk Parsi, Selat Hormuz, dan Teluk Oman – kawasan utama dalam bidang operasi Centcom, menurut penganalisis kepada Newsweek.
Pada Isnin, kapal induk USS Nimitz telah diarahkan keluar dari Laut China Selatan ke Timur Tengah, menjadikan jumlah kapal induk AS di rantau itu kini dua buah, susulan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.
Sebagai langkah berjaga-jaga, berpuluh-puluh pesawat pengisian bahan api udara Tentera Udara AS turut dihantar ke Eropah hujung minggu lalu untuk menyokong kemungkinan operasi ketenteraan di Timur Tengah, menurut dua pegawai pertahanan yang dipetik oleh Politico.
“Selaras dengan tanggungjawab untuk melindungi pasukan AS di Timur Tengah, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth telah mengarahkan Kumpulan Serangan Kapal Induk Nimitz ke kawasan tanggungjawab Centcom untuk mengekalkan kesiapsiagaan pertahanan dan melindungi anggota Amerika,” kata seorang pegawai pertahanan kepada Newsweek. – Agensi
















