KUANTAN – Seorang pegawai keselamatan dan kesihatan sebuah syarikat swasta maut dalam kemalangan di Kilometer 68, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Maran dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kejadian pukul 9.20 pagi itu membabitkan sebuah kereta Perodua Viva dengan motosikal jenis Yamaha 135LC.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta yang merupakan lelaki warga emas berusia 83 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Aur Gading Sawmill Luit hendak ke arah Sri Jaya.
“Ketika hendak menyeberang jalan ke laluan utama, secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan itu penunggang motosikal, Ahmad Fadhli Azman, 32, beralamat di Taman Sungai Lembing di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kesihatan Klinik Maran.
Kim Wai berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Jengka untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu kereta ketika hendak menyeberang dari sebelah kiri ke kanan,” tambahnya.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksye 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette















