Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC mengesahkan penyertaannya ke saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26  merupakan usaha mengembalikan kelab ke landasan selepas hampir tiga tahun bergelut dengan isu pengurusan.

“KDA FC kini membawa semangat dan iltizam untuk membina semula kelab dengan lebih tersusun, realistik dan bebas daripada sebarang kepentingan selain memartabatkan bola sepak negeri Kedah.

“Segala usaha ini digerakkan atas semangat yang mendalam terhadap sukan bola sepak dengan fokus memastikan kestabilan kelab dari segi pengurusan, kewangan dan prestasi di atas padang di samping menjaga kebajikan pihak terlibat serta menyelesaikan perkara berbangkit,” tulis kelab itu di Facebook miliknya di sini.

Isnin lalu, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memaklumkan KDA FC sudah diberikan lesen untuk beraksi dalam Liga A1 Semi Pro selepas sebelum ini, usaha kelab Utara tanah air itu masih dinilai.

Ini sekali gus menyaksikan sebanyak 16 pasukan akan berentap dalam kejohanan peringkat semi pro tersebut yang mana ia adalah peningkatan berbanding 15 pada edisi lalu.

Kehadiran kelab baharu, termasuk KDA FC dijangka mampu memeriahkan lagi saingan berkenaan memandangkan orang ramai akan teruja mengikuti perkembangan liga yang bersifat lebih kompetitif.

“Pihak kelab juga ingin memohon agar seluruh penyokong memahami bahawa penyertaan pertama KDA FC di Liga A1 ini bukanlah semata-mata untuk mengejar kejuaraan dalam sekelip mata.

“Keutamaan kami adalah membina asas kukuh agar kelab dapat bergerak lebih stabil dan mampan untuk jangka panjang. Pada saat getir ini, KDA FC amat mendambakan sokongan padu, ikhlas dan tanpa berbelah bahagi daripada seluruh penyokong Sang Kenari,” tulisnya lagi.

Musim lalu, kelab Hijau Kuning itu mengalami kemelut pengurusan cukup serius sehingga memberi kesan buruk terhadap persembahan pasukan di atas padang dengan mereka menamatkan saingan di tangga ke-11 Liga Super.

Isu tersebut turut menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) enggan memberikan lesen kebangsaan buat pasukan terbabit untuk menyertai Liga Super 2025/26.

Jadi, keputusan skuad Sang Kenari merebut tempat dalam Liga A1 Semi Pro wajar dipuji kerana ia secara tidak langsung memberi ruang buat pasukan itu terus bersaing tanpa memerlukan kos operasi tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast