MELAKA – Seorang pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan abangnya di rumah mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini, minggu lalu.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu yang memakai pakaian lokap berwarna ungu mengangguk faham selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding dalam bahasa Mandarin memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian kedua-dua abangnya yang masing-masing berusia 51 dan 21 tahun.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Jalan RM3, Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah di sini antara pukul 5 pagi hingga 5.30 pagi 12 Jun lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan minimum 12 sebatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian manakala tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut berdepan pertuduhan menyebabkan adik lelakinya berusia 13 tahun cedera parah menggunakan sebilah pisau lipat di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan remaja itu turut berdepan pertuduhan bunuh.
Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula 24 Julai ini untuk mendapatkan laporan bedah siasat.
Khamis lalu, MalaysiaGazette melaporkan kes pembunuhan yang menggemparkan negara apabila dua beranak itu ditemukan berlumuran darah di ruang tamu rumah setingkat berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi.
Mangsa guru sekolah, dan anak sulungnya maut dengan beberapa kesan tikaman di badan dan leher manakala anak bongsunya turut cedera parah apabila ditikam suspek menggunakan pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter.
Suspek, pesalah juvana berumur 17 tahun merupakan anak kedua guru berkenaan yang juga ibu tunggal selepas kematian suami pada Januari lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum ini mengesahkan faktor tekanan dan dendam terpendam daripada ibu dan abang suspek yang sering memaksanya belajar dipercayai menjadi motif utama dua beranak itu dibunuh kejam.
Remaja 17 tahun itu ditahan di luar garaj rumah selepas berada keadaan bingung ketika polis tiba dan hasil pemeriksaan menjumpai pisau yang dipercayai digunakan di dalam beg sekolahnya. – MalaysiaGazette
















