PUTRAJAYA – Public Bank Bhd. diperintah oleh Mahkamah Persekutuan hari ini agar membayar ganti rugi berjumlah RM90 juta kepada NFCorp dan empat yang lain kerana melanggar kontrak kerahsiaan sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor pada 2012.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim memutuskan jumlah tersebut secara sebulat suara pada prosiding taksiran ganti rugi hari ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Datuk Abu Bakar Jais memerintahkan RM30 juta masing-masing dibayar bagi ganti rugi saksama, teruk dan teladan.
Mahkamah turut memberikan kos RM300,000 dan faedah dua peratus dibayar ke atas jumlah ganti rugi bermula hari ini sehingga keseluruhannya diselesaikan.

Pada 26 Mei lalu, panel itu mendengar rayuan penuh dan penghujahan berhubung taksiran ganti rugi dan menetapkan keputusan (ganti rugi) diumumkan hari ini.
Selain NFCorp, pihak lain ialah Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail serta tiga anak syarikat iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Hasnah berkata, kelima-limanya dalam rayuan balas memohon ganti rugi keseluruhan RM560 juta iaitu ganti rugi am RM60 juta dan RM250 juta masing-masing bagi ganti rugi teruk dan teladan.
Kata hakim berkenaan, panel tersebut berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika memberikan jumlah nominal RM10,000 atas alasan NFCorp dan empat yang lain gagal membuktikan jumlah ganti rugi yang dipohon.
“Mahkamah Rayuan terkhilaf ketika memutuskan bukti yang dikemukakan adalah tidak mencukupi bagi menyokong tuntutan ganti rugi.
“Sebaliknya mahkamah ini berpuas hati kelima-lima pihak telah mengemukakan laporan kewangan dan akaun yang telah diaudit melalui saksi pakar,” ujar beliau.
Hakim Hasnah selanjutnya menyatakan, Public Bank tidak mencabar laporan kewangan dan akaun teraudit itu melalui dokumen atau saksi pakar dari bank.
Sebaliknya, ujar beliau, pihak bank hanya mencabar kredibiliti pakar berkenaan yang dikemukakan oleh NFCorp.
Oleh yang demikian, panel tersebut berpuas hati bahawa dokumen yang dikemukakan oleh NFCorp yang empat yang lain kekal tidak dicabar selepas meneliti menyeluruh laporan kewangan dan unjuran kewangan akaun teraudit syarikat itu.
Pada prosiding itu, NFCorp dan empat yang lain diwakili pasukan peguam diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Chan Kok Keong, Poh Choo Hoe, dan Tiang Min Hin mewakili pihak bank.
Pada 26 Mei lalu, panel itu menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman NFCorp berhubung liabiliti bahawa bank itu melanggar kontrak sehingga maklumat sulit akaun mereka bocor, 14 tahun lalu.
Mahkamah sebaliknya membenarkan rayuan balas kelima-limanya untuk mengetepikan ganti rugi nominal RM10,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Pada 22 Mei 2012, plaintif memfailkan saman terhadap Public Bank atas pelanggaran kontrak untuk melindungi kerahsiaan akaun bank mereka.
Perayu menyatakan, maklumat akaun bank yang bocor itu digunakan oleh Naib Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menguatkan dakwaan bahawa plaintif memanfaatkan pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City.
Pada 29 Julai 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan tiga lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Dalam penyataan saman tersebut, kesemua plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu. – MalaysiaGazette

















Rakyat juga berharap NFC saman juga pemfitnah tegar Rapizi Ramli yg masih berkeliaran dengan bebas..