Serbuan dijalankan di dua lokasi di Jalan Ipoh oleh pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. FOTO Ihsan JIM.

KUALA LUMPUR – Dua sindiket pemalsuan dokumen imigresen berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas berasingan di ibu negara dan Petaling Jaya pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan pertama dilakukan di dua lokasi sekitar Jalan Ipoh di sini bermula pukul 11 pagi oleh pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan aduan dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke premis dan membuat pemeriksaan terhadap satu lelaki dan dua wanita warga tempatan yang sedang berurusan di premis terbabit.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga Pakistan berperanan sebagai ‘dalang utama’ sindiket dan semakan awal mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan dijalankan di dua lokasi di Jalan Ipoh oleh pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. FOTO Ihsan JIM

Sebanyak 13 pelekat palsu turut disita termasuk enam visa Bangladesh, dua visa India, dua visa Amerika Syarikat, satu visa Indonesia, satu visa Pakistan dan satu pelekat muka hadapan biometrik pasport Bangladesh.

Pihaknya juga merampas satu set komputer, komputer riba dan mesin pencetak yang digunakan dalam penghasilan pelekat palsu.

“Modus operandi sindiket adalah meminda dan mencetak pelekat palsu imigresen untuk dijual kepada PATI yang berada di dalam negara.

“Sindiket menjual pelekat palsu imigresen kepada pendatang asing tanpa izin dengan kadar antara RM100 hingga RM120 sekeping, bergantung kepada negara asal dokumen yang dipalsukan,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua warga asing itu kini ditahan di Depot imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan dua warga  tempatan juga telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat.

Serbuan dijalankan di dua lokasi di Maluri dan Petaling Jaya oleh pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. FOTO Ihsan JIM

Sementara itu, Zakaria memaklumkan, serbuan kedua bermula jam 6.43 petang pada hari sama di dua lokasi sektar Maluri dan Petaling Jaya, Selangor.

“Hasil risikan selama dua minggu, kita telah dua wanita tempatan disyaki sebagai ‘dalang utama’ serta seorang lelaki warga tempatan. 

“Siasatan awal mendapati, seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan itu merupakan penjawat awam dan kesemua berusia di antara 40 hingga 43 tahun. 

“Modus operandi sindiket yang sudah beroperasi sejak hujung tahun lalu adalah menguruskan pas lawatan kerja sementara (PLKS) kepada warga asing yang berada di Lembah Klang dan tidak memiliki pas,” ujarnya.

Serbuan dijalankan di dua lokasi di Maluri dan Petaling Jaya oleh pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. FOTO Ihsan JIM

Semakan awal mendapati butiran pada ePLKS dipinda dan tidak wujud di dalam sistem Imigresen malah kadar bayaran dikenakan adalah sebanak RM11,000 bagi setiap seorang.

Rampasan turut dilakukan sebanyak 101 pasport dari pelbagai negara, iaitu 74 pasport Sri Lanka, 13 pasport Myanmar, enam pasport Vietnam, dua pasport Indonesia, dua pasport Ghana dan masing-masing satu pasport India, Pakistan, Bangladesh serta Syria.

“Kita turut menyita dua unit telefon bimbit dan satu salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang digunakan oleh sindiket itu,” katanya.

Tambah Zakaria, semua warga tempatan yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Katanya, dua warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast