JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih menjalankan siasatan terhadap kes penyamaran Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kumar memaklumkan, setakat ini tiada suspek dikenal pasti lagi namun siasatan sedang aktif dijalankan.
“Saya ingin mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penyamaran digital yang kini semakin canggih.
“Paling penting jangan terburu-buru bertindak, semak dahulu dengan pemilik sebenar sebelum membuat sebarang tindakan.
“Orang Malaysia memang baik hati, itu sebab ramai yang jadi mangsa. Jadi kita perlu tingkatkan kewaspadaan dalam dunia digital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) di sini hari ini.
Sabtu lalu satu video tular dalam TikTok yang memaparkan individu menyerupai Kumar dan polis Johor mengesahkannnya adalah palsu dan dimanipulasi menggunakan teknologi AI.
Kumar dilaporkan berkata, video berkenaan yang turut mengaitkan penerimaan bantuan kewangan daripada individu bernama ‘Datok Abdul Malik’ adalah tidak benar.
Susulan itu kata beliau, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai unit media yang turut mengesahkan bahawa rakaman video tersebut bukan kenyataan rasmi Ketua Polis Johor.- MalaysiaGazette















