Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi Pendengaran permohonan AGC berhubung perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kewujudan titah adendum di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025.(GAMBAR FAIL).

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkaitan titah adendum yang dijadual pendengarannya pada 1 dan 2 Julai ini.

Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perintah untuk mengemukakan orang dalam penjara (OTP) supaya bekas Perdana Menteri dibenarkan menghadiri prosiding berkenaan.

Permohonan itu tidak dibantah oleh Peguam Persekutuan Ainna Sherina Saipolamin.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan OTP dikeluarkan terhadap Najib.

Turut bersidang, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Peguam yang mewakili bekas perdana menteri, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menunjukkan surat dari Istana Pahang mengesahkan Titah Adendum wujud, di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 JANUARI 2025 (GAMBAR FAIL)

Pada 28 April lalu, panel yang sama membenarkan Peguam Negara merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengembalikan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Koram berkenaan membenarkan Mohd. Dusuki mengemukakan tujuh persoalan undang-undang dalam rayuan tersebut atas alasan ia merupakan isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Panel berkenaan berpendapat, rayuan harus dipercepatkan dan ditetapkan pada 1 dan 2 Julai ini kerana isu yang dibangkitkan bukan sahaja memberi kesan kepada Peguam Negara, malah kepada Najib sendiri.

Pada 6 Januari lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan bekas Perdana Menteri mencabar kewujudan titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Dalam pada itu, Najib juga memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berhubung pertikaian berkaitan titah berkenaan.

Awal minggu ini, Muhammad Shafee turut membuat laporan polis bagi pihak Najib terhadap Ahmad Terrirudin berhubung perkara itu.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast