Zambry Abd Kadir

LANGKAWI – Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN hari ini bersetuju menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur 2045 sebagai kerangka hala tuju baharu pendidikan tinggi ASEAN bagi tempoh dua dekad akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, penerimaan deklarasi itu amat signifikan kerana ia menggantikan Deklarasi Kuala Lumpur 2015 yang telah tamat tempoh selepas 10 tahun pelaksanaannya.

Menurut beliau, deklarasi baharu itu mencerminkan komitmen ASEAN dalam membina sistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi jangka panjang rantau ini.

“Satu lagi perkara yang sangat mustahak hari ini ialah mesyuarat telah menerima pakai Deklarasi Kuala Lumpur dalam bidang pendidikan tinggi. Ini sangat penting bagi hala tuju ASEAN hingga tahun 2045.

“Deklarasi pendidikan tinggi ASEAN sebelum ini dibuat pada 2015, juga di Kuala Lumpur. Dan kini, selepas 10 tahun, kita adakan deklarasi baharu sekali lagi di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media selepas selesai persidangan meja bulat tersebut.

Tambah beliau, deklarasi tersebut turut diselaraskan dengan visi jangka panjang ASEAN yang digariskan oleh ketua-ketua negara melalui dokumen ASEAN Community Vision 2045. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast