Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini sedang menjejak ibu kandung atau waris kepada Adam Ezra.

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan kini ditempatkan sementara di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) apabila ibu kandungnya gagal dikesan selepas menghilangkan diri sejak sebulan lalu.

Menerusi kenyataan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bentong, Adam Ezra kini ditempatkan di bawah jagaan OYLS bermula 11 Jun hingga 11 Julai depan bagi membolehkan Pegawai Pelindung menjalankan siasatan selanjutnya.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut telah diserahkan kepada sebuah keluarga melalui kenalan ibunya, Adolfina Rambu pada Jun 2023 untuk dijaga.

“Sehingga kini, ibu kandungnya tidak dapat dihubungi bagi menguruskan prosedur penjagaan dan telah menghilangkan diri.

“Memandangkan kanak-kanak ini memerlukan pemeliharaan dan perlindungan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 17(1)(e)(ii), Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016), maka penempatan sementara dibuat bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Susulan itu JKM memohon kerjasama ibu kandung atau mana-mana waris terdekat untuk hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Bentong atau menghubungi Pegawai Pelindung, Iman Syahirah Norman di talian 09-222 1732. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast