Lokasi seorang remaja lelaki 18 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi pantai di Klebang, Melaka jam 3 petang tadi.

MELAKA – “Sebelum ini dia pernah cakap dekat saya yang dia tidak boleh berenang,” kata Hakeem Putra Mahadi, 18, mengenai sahabatnya yang dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di pantai berhampiran Prima Klebang, di sini, petang tadi.

Hakeem berkata, perkara itu pernah dimaklumkan sahabatnya yang sedang menyambung pengajian di sebuah kolej, namun bapanya pula memberitahu anaknya itu boleh berenang.

Menceritakan kejadian petang tadi, Hakeem berkata, mereka yang sudah berkawan sejak Tingkatan Satu datang ke lokasi berkenaan untuk meluangkan masa bersama sebelum keadaan bertukar cemas.

“Kami datang mandi-manda bersama dan ketika kejadian tiada orang lain di kawasan itu kecuali hanya terdapat seorang pemancing.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya cuba menyelamatkannya selepas menyedarinya mula mengalami kesukaran dalam air, namun tidak berjaya sebelum segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.03 petang.

Menurutnya, setibanya pasukan operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Soffian Hassan di lokasi, pihaknya mendapati benar terdapat seorang mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai bersama rakannya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), selain bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

“Bagaimanapun setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan melibatkan bantuan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here