PUTRAJAYA – Kes Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia yang mencabar fatwa Selangor mengkategorikan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng sebenarnya membuka mata semua pihak tentang keperluan Mahkamah Syariah diberikan kuasa semakan kehakiman berkaitan isu-isu syariah.
Peguam Kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, apabila perkara itu disentuh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abu Bakar Jais yang melahirkan rasa ‘pelik’ terhadap ketempangan itu, ia secara tidak langsung memberi nafas baharu bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Yang Arif Abu Bakar Jais (minoriti) memberi satu udara atau nafas yang segar supaya pihak-pihak berkenaan boleh melihat semula kepada perkara ini.
“Mungkin boleh mencadangkan kepada pihak Parlimen meminda Perlembagaan mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memasukkan semakan kehakiman di bawah Mahkamah Syariah dalam perihal isu-isu hukum syarak.
“Apabila SIS Forum mencabar fatwa Selangor, mahkamah mendapati tiada kuasa di bawah Perlembagaan untuk memberi bidang kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Syariah,” katanya kepada pemberita, di lobi Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan berpendirian, fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan SIS Forum sebagai sesat dan menyeleweng, tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Sebaliknya Tengku Maimun berpendapat, mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, kekal terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan satu dan empat.
Haniff juga berkata, tindakan Hakim Abu Bakar itu dilihat sebagai berani dan tepat dalam menyatakan hakikat bahawa Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa semakan kehakiman sehingga kini.
“Tapi yang peliknya mereka (Mahkamah Syariah) tidak mempunyai kuasa semakan kehakiman berkaitan dengan isu-isu syariah dan fatwa.
“Ini satu kenyataan yang berani dan tepat, perkara ini berbangkit dalam SIS Forum yang dikendalikan peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
“Kalau kita ingat ada satu peruntukan dimasukkan dalam Enakmen Selangor Seksyen 66(a) yang memberikan kuasa pada masa itu kepada Mahkamah Syariah untuk mengadakan semakan kehakiman.
“Maknanya kalau kita nak kata cara pengeluaran fatwa atau apa-apa keputusan agensi-agensi Islam sah atau tidak sah, kita boleh terus bawa ke Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















