Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kini berada pada kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia IMD 2025, melonjak 11 anak tangga berbanding tempat ke-34 tahun lalu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kejayaan itu merupakan prestasi terbaik negara sejak tahun 2020 dan peningkatan tersebut bukan suatu kebetulan.

Sebaliknya jelas beliau, ia hasil daripada komitmen berterusan dan pelaksanaan menyeluruh Kerajaan Madani menerusi pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation.

“Ia membuktikan reformasi ekonomi dan birokrasi membuahkan hasil dan kerangka ekonomi Madani terus memastikan ekonomi negara berada di landasan yang tepat.

“Kejayaan ini juga mencerminkan usaha kolektif dalam memperkukuh dasar fiskal, mempermudah urusan perniagaan serta mempercepat reformasi penyampaian perkhidmatan awam termasuk lebih 1,000 inisiatif di bawah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

“Sebagai contoh, indeks persepsi birokrasi negara telah melonjak 22 anak tangga – satu isyarat jelas bahawa reformasi sedang menunjukkan hasil yang nyata, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.

WCR 2025 yang diterbitkan oleh IMD dan berpangkalan di Switzerland menyaksikan lonjakan Malaysia dalam kalangan 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lalu.

Ia laporan komprehensif menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan untuk menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast