KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Madani akan sentiasa mendengar dan terbuka kepada kritikan membina sebagai peluang untuk menambah baik
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, pendirian itu diterjemah melalui tindakan dan pencapaian hari ini adalah cerminan kepada pendekatan itu.
Tambah beliau, Pejabat Perdana Menteri juga ingin menjelaskan dakwaan bahawa reformasi tidak berlaku adalah tidak berasas sama sekali.
“Agenda Reformasi Kerajaan sedang berjalan dengan konsisten, bukan hanya dalam sehari, bukan sekadar dalam kenyataan tetapi dalam tindakan yang berstruktur.
“Seperti yang telah dibentangkan YAB Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi MADANI, teras utama adalah untuk menaikkan siling yakni memperkukuh kekuatan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, kemasukan pelaburan menjadi bukti keyakinan terhadap Malaysia yang berjaya merekodkan RM89.8 bilion pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2025.
Menurut beliau, ia meningkat 3.7 peratus berbanding tahun lalu meskipun landskap global kian mencabar.
“Pelaburan ini bakal menjana 1,600 projek baharu di seluruh negara dan lebih 33,000 peluang pekerjaan.
“Selain itu, dalam sektor mikroelektronik dan semikonduktor, Malaysia turut memperoleh RM4.6 bilion potensi pelaburan dan RM507 juta potensi eksport hasil penyertaan di SEMICON Southeast Asia 2025.
“Kesemua pengumuman ini adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar reformasi negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















