KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia sebagai sesat dan menyeleweng tidak terpakai kepada pertubuhan itu.
Dalam masa yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Keputusan ini akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
“Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook.
Sebagai rekod, Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan SIS untuk membatalkan fatwa pihak berkuasa agama Islam Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng.
Dalam keputusan majoriti, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat Perlembagaan Persekutuan hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama ke atas “orang yang menganut agama Islam” dan bukan “orang-orang buatan/tiruan (artificial persons) seperti sebuah syarikat”.
Dalam keputusan majoriti 3-1, panel empat hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berpendapat, fatwa tersebut tidak boleh digunakan terhadap SIS Forum kerana ia sebuah syarikat, bukan individu yang menganut agama Islam.
Panel itu berpuas hati, sesebuah syarikat tidak ‘menganut’ agama Islam untuk diklasifikasikan secara sah sebagai penganut.
Mengulas lanjut Mohd Na’im berkata, kerajaan akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara.
“Maka itu kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita.
“Pada masa sama. Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” ujarnya.
Sebagai rekod pada Julai 2014, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengeluarkan fatwa yang mengisytiharkan SIS telah menyimpang daripada ajaran Islam, atas alasan menganut fahaman “liberalisme” dan “pluralisme agama”.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIS untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada Mac 2017 dan membenarkan prosiding kes tersebut diteruskan.-MalaysiaGazette
















