Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 buah Sekolah Madani yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya diwujudkan.

Berkongsi mengenai perkara tersebut, Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama yang diberikan oleh syarikat-syarikat swasta.

“Daripada mulanya rancangan awal saya dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara) KSP (Ketua Setiusaha Perbendaharaan), kalau boleh kita munculkan program 300 Sekolah Madani…dikit-dikit 500 dan sekarang sambutan syarikat-syarikat, kerajaan dan sektor swasta di Malaysia ini Luar biasa.

“Kita boleh cecah 1000 jumlah dan muncullah hari ini (Sekolah Angkat Madani),” katanya pada majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut Anwar, kerajaan menekankan kepentingan kerjasama sektor swasta dalam memperkukuh sistem pendidikan negara.

Ujarnya, ia bukan sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR), namun berlandaskan nilai ihsan dan komitmen bersama membina masyarakat Madani.

“Kita harapkan tentulah sumber kewangan untuk kemudahan sekolah. Kalau dilihat sekarang, kebanyakkan sekolah di pinggar bandar memperolehi faedah.

“Rancangan ini harus melibatkan syarikat dan melebarkan jaringannya ke seluruh negara,” ujarnya.

Anwar berkata, bagi menggapai wawasan Ekonomi Madani sebuah negara yang dipacu oleh inovasi dan berpasakkan keadilan sosial, sistem pendidikan nasional perlu disegarkan dengan reformasi secara menyeluruh serta mampu memberi anak-anak dan tenaga pengajar fasiliti bertaraf dunia.

“Lebih daripada sumbangan kewangan, rakan peserta Sekolah Angkat Madani juga akan melaburkan kemahiran masing-masing untuk meningkatkan mutu sekolah angkat mereka agar kesenjangan pendidikan dapat dirapatkan.

“Mobiliti sosial yang hakiki hanya boleh dijayakan apabila anak-anak kita, waima di bandar atau desa dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam menimba ilmu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan dan peneraju-peneraju industri daripada sektor swasta berganding bahu dalam usaha memperkasa pelajar dan mengangkat mutu pendidikan nasional melalui Program Sekolah Angkat Madani.

Sekolah Angkat Madani telah meraih komitmen daripada 80 organisasi sektor awam serta swasta untuk mengangkat lebih daripada 800 buah sekolah jauh melepasi sasaran awal sebanyak 200 buah.

Dengan sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak, kerajaan menyasarkan 1,000 buah sekolah untuk diangkat.

Program Sekolah Angkat Madani telah digagaskan untuk menangani jurang pendidikan di serata negara.

Organisasi-organisasi yang mempunyai sumber meluas dipadankan dengan sekolah-sekolah yang memerlukan sokongan.

Organisasi yang mengambil sekolah angkat telah memberi komitmen kepada kerjasama jangka panjang yang memfokuskan kepada lima bidang utama, iaitu: meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasa program akademik dan bimbingan pelajar; memperkukuh latihan serta pembangunan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast