Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melambai ketika tiba di mahkamah bagi mendengar keputusan permohonan agar dilepas tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 20 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan ia menjalankan ‘pendakwaan cacat’ terhadap kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkait pengubahan wang haram  dana SRC International Sdn Bhd. berjumlah RM27 juta.

Jelasnya, AGC terpaksa memohon penangguhan untuk menyiapkan dokumen sejak 2019 kerana kes berkenaan memerlukan pemakaian sebahagian dokumen material yang sama dengan perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International (kes SRC International yang pertama.)

“Prosiding kes SRC International yang pertama masih berjalan ketika itu di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sehingga selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023.

“Dalam masa yang sama prosiding perbicaraan 1MDB sudah bermula prosiding SRC pertama masih belum selesai,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambahnya, memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu sehingga dokumen material berkenaan diperolehi iaitu sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai.

Kelewatan itu bukan disengajakan tetapi adalah untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara.

ARTIKEL BERKAITAN

Najib dilepas tanpa dibebaskan, pendakwaan gagal bersedia untuk kes sejak 2019

“Perlu ditekankan bahawa  dokumen material tersebut telah tersedia namun sedang digunapakai sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang dibicarakan.

“Pihak pendakwaan memohon untuk diberikan masa agar dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC kedua,” jelasnya lagi.

Namun begitu katanya, AGC tetap akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini dan akan meneliti serta mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berunsur aktiviti haram berjumlah RM27 juta.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan walaupun selepas enam tahun pertuduhan dikemukakan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.